Koha home




SEJARAH PENUBUHAN PERPUSTAKAAN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN (MAIK)

Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencipta sejarahnya apabila menubuhkan sebuah perpustakaan sendiri iaitu Perpustakaan Islam Kelantan (kini dikenali sebagai Perpustakaan MAIK) pada tahun 1991 di Jalan Sultan, Kota Bharu bertempat di Bangunan Lama MAIK.

Perpustakaan MAIK telah disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan pada 11 November 1991. Kedudukannya yang strategik di tengah-tengah bandar Kota Bharu dengan kemudahan yang terancang telah menjadikan perpustakaan ini mudah dikunjungi oleh orang ramai terutamanya dikalangan penyelidik dan pelajar institusi pendidikan. Selain menjadi tumpuan daripada masyarakat di sekitar Kota Bharu dan kumpulan pelajar, Perpustakaan MAIK juga sering menerima kunjungan pelawat-pelawat yang datang dari dalam dan luar negara kerana tarikan pada keunikan senibina yang terdapat pada Bangunan Lama MAIK.

Idea Penubuhan Perpustakaan MAIK sejatinya telah lama dikandung oleh ilmuan dan cendikiawan Islam negeri Kelantan, tetapi pelaksanaannya jadi tertangguh kerana ketiadaan bangunan yang layak dan sesuai. Hasrat ini kemudiannya tercapai selepas MAIK berpindah ke bangunan baharunya pada 16 Februari 1990 di Kompleks Balai Islam Lundang dan meninggalkan pejabat lamanya di sebelah Masjid Muhammadi bagi menjadi ruang Perpustakaan MAIK, sekaligus pejabat pentadbirannya.

Perpustakaan ini merupakan sebuah perpustakaan khusus bertujuan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang berminat untuk membuat rujukan dan mendapatkan buku-buku mengenai ilmu-ilmu Islam. Perpustakaan ini adalah terbuka kepada semua warga MAIK, kakitangan jabatan kerajaan, para pelajar pelajar institusi pendidikan,serta golongan profesional dan penyelidik. Selaras dengan objektif penubuhannya, perpustakaan ini diharap dapat memenuhi matlamatnya sebagai sebuah pusat penyebaran ilmu yang terkenal dan dapat memberi manfaat kepada ummah.

Bermula tahun 1991, Perpustakaan MAIK secara rasminya ditempatkan di Jalan Sultan, Kota Bharu, di bangunan lama MAIK. Selepas itu, pada Oktober 2006 Perpustakaan MAIK ini telah dipindahkan ke Tingkat 3 bangunan baharu MAIK yang bertempat di Kompleks Islam Darulnaim, Lundang. Perpindahan tersebut mengambil faktor keselamatan bahan perpustakaan yang dikuatiri rosak akibat pembaikan pada bangunan perpustakaan lama serta untuk menjaga khazanah perpustakaan.

Seterusnya, pada Mei 2013, Perpustakaan MAIK sekali lagi berpindah ke Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra (KIJPSIP), Panji. Perpindahan kali ini bertujuan untuk menyediakan sebuah perpustakaan yang sesuai serta lengkap dengan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada pengguna khususnya rakyat negeri Kelantan. Lokasi Perpustakaan MAIK di KIJPSIP ini memberi kemudahan dan keselesaan kepada semua pihak terutamanya bagi pensyarah, pelajar tahfiz dan penghuni Darul Aitam, MAIK.

Tanggal Julai 2022, Perpustakaan MAIK melakar sejarah apabila mempunyai bangunannya yang tersendiri bertempat di Persimpangan Bucu Ku Som, Jalan Tok Hakim, Kota Bharu. Lokasi baharunya yang lebih strategik dan berada dipusat bandar Kota Bharu menjadikan Perpustakaan MAIK sebagai tempat tumpuan dan mudah untuk dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat.

Dengan perpindahan ini, Perpustakaan MAIK diharap menjadi landasan kepada perkembangan ilmuwan Islam. Perpustakaan MAIK juga dilihat mampu menjadi sebuah pusat pengumpulan dan pemeliharaan koleksi Islam serta sebuah Pusat Penyelidikan yang terkenal di Nusantara. Perpustakaan MAIK sedang giat dalam usaha pengumpulan bahan-bahan berkaitan hukum hudud di seluruh dunia, himpunan tokoh-tokoh Ulama Kelantan serta penulisan dari tokoh-tokoh ilmuwan Kelantan. Akhirnya, segala usaha yang dilakukan untuk menggerakkan gedung ilmu ini diharap mampu menjadi sebuah pusat rujukan terpenting kepada masyarakat kini dan pada masa akan datang.



KOLEKSI TERBARU
Loading...
Log in to your account:

Waktu Perkhidmatan

Hari Masa
Ahad - Rabu 8.00am - 5.00 pm
Khamis 8.00am - 3.30pm
Sabtu  9.00am - 4.00pm